Haqiem Rusli Nafi Dakwaan Beli Kereta Secara Tunai


Haqiem Rusli Nafi Dakwaan Beli Kereta Secara Tunai

Heboh di media sosial bahawa penyanyi popular, Haqiem Rusli, baru sahaja membeli sebuah kereta dengan bayaran tunai. Namun, beliau tampil menepis dakwaan tersebut dan menyifatkan bahawa ianya perkara peribadi yang tidak perlu dikongsi dengan umum.

"Benar, saya beli kereta itu tiga minggu lalu, tetapi bukan secara tunai. Saya pun berasakan perkara ini tidak perlu diberi penjelasan kerana ia soal peribadi.

"Saya juga malas hendak bercakap mengenai hal ini apabila ia menjadi bualan netizen. Biarlah apa orang nak kata,"

Kata penyanyi lagu Tergantung Sepi itu, beliau bersyukur apabila hasil usahanya selama ini sebagai penyanyi berbaloi dan kereta itu dianggap sebagai hadiah buat diri sendiri serta ibu dan bapanya yang banyak memberi sokongan. Malah, ia juga memudahkan Haqiem, 19, untuk bergerak ke sana-sini bagi tujuan kerja jika ibu dan bapanya sibuk.

"Buat masa ini, saya belum boleh memandu lagi, jadi ada rakan yang tolong pandu. Apabila sudah ada kereta, maka saya juga lebih bersemangat untuk mendapatkan lesen," tuturnya.

Baru-baru ini, Haqiem memuat naik foto keretanya bersama luahan rasa syukur apabila dapat memiliki kenderaan hasil usahanya sebagai penyanyi. Ekoran itu, rata-rata peminat mengucap tahniah kepada beliau. Malah, ada peminat yang memberi cadangan kepada penyanyi itu untuk menghias kereta terbabit.

Bagaimanapun, menerusi laporan sebuah blog, Haqiem dikatakan kononnya membeli kereta itu secara tunai. Sementara itu, dalam perkembangan lain, Haqiem merancang untuk membuka perniagaan francais burger di bawah jenamanya sendiri dalam masa terdekat nanti.

Bagi kami, walau dengan cara apa pun pembelian tersebut, biarlah dari hasil titik peluh kita sendiri. Betul tak?

You May Also Like

0 Comments